Baru-baru ni saya ada mengajak seorang rakan rapat saya dikampung pergi ke Majlis Aerocarnival yang bakal diadakan di IPT tempat saya belajar pada hari Sabtu atau Ahad ini. Kami ber'sms lebih kurang begini;
F: Askm. Pekaba? ganggu ke? Eh, 25-26 ni ada 'karnival kerjaya & keushawanan bidang penerbangan & earoangkasa' kat MIAT. Ko dah tahu lom?
Saya: Tahu.. Ko nak ikut aku gi sana ker?
F: x boleh la. Aku keje. Ingatkan ko x tau. Sabtu ni kat muar pun ada 'karnival kerjaya' gak.
Saya: Kita gi ari ahad la.. Boleh?
F: 1 hari bertolak. boleh ker? Aku nak jugak gi. Nanti aku tanye tunang aku dulu ye. kalau dia bagi, aku gi.
Saya: ok.
beberapa minit lepas tuh...
F: tunang aku x bg la. dia kata risau 'DARAH MANIS'.
Saya: Dah agak dah.. Ok, x per lah..
F: sorry ek.. jangan marah tau..
Saya: ok.
Hurmm, begitulah al-kisahnya... Waktu rakan saya beritahu dia mahu bertanya pada tunangnya dulu, saya sudah menjangkakan yang jawapannya sudah tentu 'tak boleh'. Alasan yang diberikan pula, kerana Darah Manis. Darah Manis? Darah manis tu sebenarnya apa yerk? Bila orang bertunang jer, mesti dikaitkan dengan 'Darah Manis'. Ada yang kata, darah manis ni adalah ungkapan yang menggambarkan dugaan bagi mereka yang sudah memegang status bertunang. Dugaannya pula tak kira besar atau kecil sudah pasti akan menimbulkan kerisauan dan syak wasangka, tak kira sama ada bagi yang lelaki atau pun yang perempuan. Kalau yang perempuan, jika sebelum ni tidak pernah diganggu atau disapa oleh insan yang bergelar lelaki, mungkin pada waktu ini ia akan menjadi perhatian, dan menerima sapaan dari lelaki lain. Begitu juga dengan si lelaki.
Maklumlah, orang yang sudah bertunang ni wajahnya berseri-seri dari kebiasaannya. Malah kalau boleh dilihat 'aura' yang keluar dari diri mereka, saya yakin 'aura' mereka berbeza dari orang yang belum bertunang dan orang yang sudah berkahwin. Kalau orang yang sedang bercinta atau baru jatuh cinta dikaitkan dengan 'aura pink', boleh jadi orang yang bertunang mempunyai 'warna aura' yang tersendiri. Dan ianya menjadi satu tarikan yang membuatkan orang lain 'berkenan' nak berkenalan atau berkawan dengan lebih rapat lagi dari sebelumnya. Berkawan tu bukannya tak boleh, tapi kenalah ingatkan diri yang sudah pun berpunya dan hampir melangkah ke alam rumah tangga. Waktu-waktu begini, syaitan pula tidak akan senang duduk. Mereka akan lebih hebat menggoda dan meniupkan perasaan syak wasangka untuk cuba meleraikan niat untuk melangkah ke alam rumah tangga. Jika pasangan yang bertunang berjaya melangkah ke alam rumah tangga, maka menangislah syaitan kerana tidak boleh memperdayakan mereka untuk berbuat maksiat lagi.
Saling doa-mendoakan sesama pasangan juga sangat penting pada waktu ini. Berdoalah supaya tabah dan sabar dalam mengharungi detik pertunangan dan seterusnya selamat sampai ke alam perkahwinan. Selain itu perlu juga di ingat tujuan sebenar pertunangan. Bertunang adalah bertujuan untuk berkenal-kenalan sesama pasangan. Berkenalan disini, bukan sekadar mengenali diri pasangan masing-masing, tetapi mengenali ahli keluarganya. Ia juga merupakan jalan persediaan untuk melangkah ke alam rumah tangga. Jangan pula status pertunangan dijadikan tiket untuk tidak menjaga batasan hijab. Perlu di ingat, bertunang bukan bermakna sudah berkahwin.

Amboi! bukan main panjang lagi saya bercerita mengenai pertunangan yerk... hehe... Baiklah, bukan apa... Sebenarnya saya sendiri tidak pasti sama ada saya rasa terkilan atau pun rasa sedih kerana rakan saya tidak dapat menemankan saya untuk pergi ke Aerocarnival tuh. Walaubagaimana pun, saya tidak menyalahkan keadaannya yang memang perlu berhati-hati dan menjaga diri pada waktu 'berdarah manis' nih. Cuma apa yang saya terfikir, saya kini sudah tidak mempunyai rakan yang boleh saya ajak untuk pergi menemankan saya ke mana-mana atau berkongsi apa-apa. Majoriti rakan-rakan saya sudah pun bergelar isteri dan sorang kawan saya yang tinggal ni pun, bakal bergelar isteri juga. Walaupun masih belum bergelar isteri, tetapi sudah nampak keadaan dirinya tidak akan mempunyai waktu untuk bertemu dengan saya sebagai seorang rakan. Sedangkan saya adalah rakannya yang perempuan, bukan lelaki pun.
Tapi tak aper lah. Apa yang boleh saya buat, hanya cuba memahami keadaan dirinya. Saya akui, saya tidak pernah bercinta, bercouple, apa lagi bertunang. Saya tidak mempunyai pengalaman untuk berkata mengenai hal ini semua. Tetapi melihat apa yang berlaku pada rakan-rakan saya, saya cuba belajar, ambil iktibar dan memahami. Mungkin ada sesetengah perkara yang saya tidak setuju. Terutamanya mengenai couple dan bercinta. Ada sesetengah lelaki yang beria-ria mengkontrol teman wanita atau bakal isteri kerana mahukan teman wanita/bakal isteri yang bagus dan baik, sampai nak keluar rumah pun, kena minta kebenaran darinya. Tetapi dalam masa yang sama, dia sendiri tak sudah-sudah enjoy dan bersuka-ria bersama rakan-rakannya. Ada pula sesetengahnya yang beria-ria menyuruh teman wanita/bakal isterinya menutup aurat bila keluar rumah. Hurmm... ok lah tu. Tapi yang jadi tak ok nyer, bila keluar dengan dia, boleh pulak suruh tanggal tudung. Alasan, "Alah... saya kan bakal suami kamu..." (Subhanallah... minta dijauhkan diri saya dengan lelaki-lelaki yang sebegitu...)
**************

Diwaktu artikel ini ditaip, saya masih lagi berstatus 'single' dan 'bujang'. Kalau menjadi, tak lama lagi blog ini akan bertukar domain dan akan berhijrah dari
Blogspot ke
Wordpress.org. Saya harap, artikel 'Darah Manis' ini akan menjadi peringatan untuk diri saya dan sesiapa yang membacanya. Jika pada masa akan datang, giliran saya pula berada di alam pertunangan dan blog ini masih wujud, Semoga entry kali ini akan dapat saya baca semula untuk peringatan pada diri saya pada waktu itu nanti...
Sekian, entry kali ini...
~Kepada sesiapa yang ingin berkongsi pengalaman waktu bertunang, atau ingin memberi sebarang nasihat, boleh lah menaipnya diruangan komen ya... Terima kasih...